•Wednesday, October 28, 2009

Setelah bermalam selama 2 malam di Venice, esok paginya selesai bersarapan pagi dan 'check out' dari Fucina camping village, kami terus bergerak ke kota Milan. Antara kota fesyen yang terkenal di dunia.. Segala kedai-kedai barangan berjenama ada di kota ini.. Namakan sahaja apa sahaja.. pastinya boleh dilihat di kiri dan kanan jalan di sekitar kota itu.



Perjalanan dari Fucina ke Milan mengambil masa lebih kurang 3 jam.. Kami sampai lewat tengahari. Kami merancang untuk berada di kota Milan selama 1 jam sahaja kerna tidak punya masa yang banyak kerana perlu mengejar pula 'check in' di Lauterbrunen Switzerland sebelum pukul 8.00 malam.

Kami sekadar berlegar-legar di sekitar plaza duomo yang terkenal itu.


Antara dataran utama

Deretan kedai-kedai jenama antarabangsa (Membeli belah secara tingkap sahaja)


Plaza Duomo




Duomo Cathedral


Menghampiri ke pukul 4 kami mula bertolak keluar dari kota Milan menuju ke Lauterbrunen di Switzerland. Perjalanan mengambil masa 4 jam dek kesesakan di terowong yang memisahkan 2 negara ini.





Akhirnya kami tiba di tempat penginapan kami pada pukul 9.00 malam. Namun walaupun tiba selepas waktu untuk check-in, kami berjaya juga mendapat kunci bilik kami. Kali ini kami bermalam di katil yang lebih selesa dan luas. Bukan lagi bilik kabin seperti hari-hari sebelumnya. Apatah lagi tingkap bilik kami mengadap banjaran swiss yang indah sekali. Malam itu kami tidur dengan nyenyak bersama suhu udara yang sejuk dan nyaman.

Bersambung..

•Friday, October 23, 2009
Venizia atau juga dikenali sebagai Venice adalah antara bandar pelancongan yang terkenal di Italy. Sebut sahajalah bandar venice itu pastinya ramai yang akan terbayangkan bot-bot gondola yang menyusuri laluan berair mengelilingi pulau itu. Terusan dan jambatan kelihatan di setiap ceruk jalan di sekitarnya.

Namun ada juga riaksi negatif yang diperolehi dari rakan-rakan yang pernah ke sana.. Ada yang kata bandar itu cukup kotor.. sampah sarap kelihatan di sana sini, kadangkala ketika melalui jambatan dan belakang rumah orang, pemandangan di situ tidaklah secantik mana.. (yelah nama pun lalu belakang rumah orang kan.. cuba lalu belakang rumah orang kat mesia.. bape kerat yang indah) tapi pada aku itu adalah biasa.. jangankan ke Venice.. Kalau ke KL sekali pun.. kalau kita lalu ceruk-ceruk kampung dan rumah orang pasti kita juga akan jumpa yang tak enak dipandang kan.. lain orang lain pandangannya... tapi berlainan pula pada pandangan aku..

Aku sukakan Venice.. bukan kerna kekotoran yang kelihatan di sana sini.. bukan juga kerana struktur senibina dan dinding-dinding yang berlumut dek banjir yang melanda 3 4 kali setiap tahun.. bukan juga kerna menyusuri laluan berair dengan gondola yang mampu membangkitkan mood romantik.. Tidak sama sekali.. Tapi aku suka kerana ia sebuah pulau yang dikelilingi oleh lautan.. berjalan di tepian pulau itu dengan memandang deras laju air yang berombak sungguh unik sekali.. Alam ciptaan tuhan itu sungguh indah.. Apatah lagi ketika aku ke sana bumi venice sedang dicurahi air hujan yang lebat dan selesai sahaja rintik-rintik hujan yang terakhir.. dan saat mentari mula menyinari cahayanya.. bumi itu kelihatan amat bersih sekali.. seolah semua kekotoran yang melekat itu.. hilang dibawa air hujan.. dicuci bersih dengan air percuma ciptaan tuhan.. Alam jadi indah.. yang buruk itu tertutup seketika.. yang cantik terserlah segalanya..

Cukuplah.. aku jiwang karat tadi.. nie nak sambung pula kisah sepanjang kami berada di Venice.

Semasa menjelajahi bandar Rome menaiki bas persiaran.. kami turun di satu tempat yang berhampiran dengan kawasan orang-orang muslim (berdasarkan pemerhatian kami pada kelompok manusia yang berjalan di sekitar kawasan itu yang berjubah panjang ala pakistan bagi golongan lelakinya.. dan bertudung bagi golongan wanitanya). Mulanya kami sangkakan itu kedai menjual daging & ayam yang halal.. rupanya hanya sekadar kedai sayuran dan buahan.. tapi dimiliki oleh orang muslim bangladesh. Sempat juga kami tanyakan dimana hendak dapatkan daging halal.. katanya tidak ada dijual di kedai-kedai tetapi boleh dibeli di pasar pagi setiap sabtu yang dijual oleh orang-orang pakistan atau bangladesh. kami pun apa lagi membeli barang keperluan seperti minyak masak, telur dan sayur-sayuran buat hidangan makan malam & sarapan pagi.

Disebabkan sudah ada minyak masak dan telur, sarapan pagi itu perut kami disajikan dengan nasi goreng berperisa perencah bihun goreng (dah itu jek perencah yang ada), telur dadar dan kari ayam lagi (sebenarnya nak test perencah kari yang lain.. rupanya perencah kari yang sama rasa gak.. maklumlah yang membelinya orang lelain). Kali ini memasak rasa lengkap sedikit. Bila ada minyak masak tuh banyak sikit idea nak masak apa.. Walaupun kabin itu kecil sahaja.. tapi bolehlah untuk memasak.. kenalah buka pintu dan tingkap.. kadang cuak juga andai bau masakan itu boleh dihidu oleh mereka yang menginap di bilik sebelah.. dekat sahaja pintu kami.. pintu masuk ke bilik masing-masing pun melalui pintu utama yang sama.

Selesai sarapan pagi, menghampiri ke pukul 10.00pagi kami mula keluar dari kawasan Fucina village dan menuju ke jeti Fucina untuk ke Pulau Venice. Bayaran untuk menaiki bot ke sana 12 euro bagi dewasa. Langit yang asalnya cerah bertukar mendung dan hujan turun selebat-lebatnya.. Seolah tidak akan ada redanya langsung..

Bot ke Venice pada pukul 11.00 pagi terpaksa kami lepaskan memandangkan hujan terlalu lebat dan kami agak risau untuk berjalan ke jeti yang perlu menuruni anak-anak tangga.. sambil membawa anak-anak kecil.. Kalau orang dewasa semata.. mungkin juga kami redah hujan itu.. tapi mengenangkan ada si kecil yang berusia 2 tahun.. Kami ambil juga langkah berhati-hati.. dan akhirnya kami putuskan untuk menaiki bot pada pukul 12.00 tengahari.

Sebaik sahaja hujan rintik sekadar renyai-renyai sahaja, jam sudah menunjukkan menghampiri ke pukul 11.30 pagi. Kami mula berjalan perlahan ke jeti.. kami orang pertama yang sampai ke situ.. sempatlah menikmati pemandangan indah lautan yang seluas mata memandang.. Tidak kelihatan langsung pulau Venice dari jeti itu.. Nun jauh ke sana aku agak-agak.. tapi kelihatan susunan kayu di tengah lautan yang tidak jauh dari jeti.. mungkin sebagai tanda laluan untuk ke Venice atau tempat yang lain.



Tepat pukul 12.00 tengahari, bot pun sampai. Tidaklah sebesar mana.. tapi penumpangnya juga tidaklah terlalu ramai.. mungkin kerna dek hari hujan menyebabkan kurang penumpang yang lain.. Hujan masih turun renyai-renyai, suhu sekitar mula terasa sejuk.. ditambah lagi dengan angin laut yang sedang bertiup. Membuka tingkap sahaja sudah membuatkan aku mengigil. Aku lebih selesa duduk di tempat duduk bertutup berbanding tempat duduk di ruangan atas yang terbuka. Ramai penumpang yang lebih suka berdiri di bahagian depan atau belakang bot untuk menikmati pemandangan indah lautan dan sambil menantikan perjalanan ke bandar Venice. Aku sempatlah mengambil gambar di hadapan bot berkenaan seketika.. tak mampu nak berdiri lama kerana bot agak terumbang ambing dan bila berjalan pun rasa terhuyung hayang.



Aku rasa dalam 30 minit perjalanan kami dari jeti Fucina ke jeti Zattere di Venice. Dari jauh kelihatan bandar itu dengan deretan bangunannya. Hati dah mula tidak sabar untuk menjejakkan kami di situ. Kami mulakan penjelajahan kami menggunakan kederat kaki kami. Tidak lama berada di bumi Venice, hujan turun dengan lebatnya.. Kami basah kuyup dan jaket kalis hujan aku pun basah kuyup.. kasut kain dan stokin kain aku semua basah lencun terasa berjalan di dalam air.. Badan mula mengigil sejuk.. tapi dek kerna mood berjalan masih tebal.. kami harungi jua hujan lebat itu.. Hujan atau panas.. bergambar itu sudah semestinya..


Jeti Zattere

Antara lokasi menarik di Venice

Dataran San Marco

Deretan gondola yang tidak beroperasi dek hujan yang turun dengan lebatnya.


Menghampiri pukul 2.00 petang, hujan mula berhenti dan matahari mula menyinari cahayanya. Kami ambil peluang ini untuk menaiki gondola dengan bayaran sebanyak 80 euro untuk 1 bot seramai 6 orang. Jangka masa menaiki gondola itu hanya 30 minit sahaja. Sekejap sangat kami rasakan.. tapi tetap seronok.


Si penarik gondola
Antara lokasi yang aku suka.. Jelas terserlah cara hidup penduduk di sini.

video


Selesai bergondola dan ambil gambar.. Romantik de amore takde ye.. sebab lebih pada melihat sekeliling.. bawah jambatan.. belakang rumah orang.. tengok dinding berlumut.. tengok air yang berwarna hijau penuh lumut.. dengar si penarik gondola itu chit chat dengan kawan-kawannya.. layan dia menyanyi seorang diri.. Akhir kami sampai ke jeti semula.. dan meneruskan perjalanan berjalan di sekitar Venice dan mengejar masa untuk menaiki bot kembali ke Fucina pada pukul 7.55 malam.

Kami tinggalkan Venice menjelangnya senja..Kenangan di sana tidak akan dilupakan buat selamanya.


Senja di Venice

Semoga kita bertemu lagi

Bersambung..

•Wednesday, October 21, 2009
Bangun pagi.. Sudah 2 malam kami bermalam di bumi Italy.. Buka beg kuning yang sederhana besar, yang terdapat di dalamnya:

Sebuah Periuk multicooker elektrik
Sebuah Cerek elektrik
Pisau, senduk kayu, sudu & garfu
Pinggan & mangkuk polistrin
Bawang, bawang putih, halia, garam, gula, serbuk kunyit, serbuk kari ikan.
Perencah sup tomyam, serbuk kurma, serbuk masak kicap ikan, perencah kari segera 3 peket, mee maggie, 3 tin sardin kecil, 1 tin sardin besar.
4 uncang Teh Lady grey dan beberapa peket nescafe cappusino segera.
Salami ayam & daging, 1 pek besar ayam siap digoreng, 1 peket ikan bilis goreng.
I kotak tisu dan 1 gulung tisu dapur.

Itu antara barangan memasak yang dibawa dari Glasgow khusus untuk mengisi perut kami sepanjang 8 hari mengembara.

Memandangkan minyak masak dan telur belum dapat dibeli.. Hari ke 3 kami masih makan salami goreng, roti, nasi putih dan kari ayam. Sarapan kami pagi itu adalah nasi berlauk kari ayam.. Bersama roti dan salami yang digoreng tanpa minyak. Sedap jek apatah lagi perut sememangnya dah lapar sangat.

Pagi itu kami sempat jugalah berbual dengan pasangan dari Poland yang datang bercuti ke Rome yang menginap bersebelahan dengan banglo rakan kami. Usianya sudah 75 tahun.. rasanya hampir seusia dengan ayah aku.. Mereka amat ramah sekali.. Apatah lagi mereka ini sudah banyak berjalan mengelilingi dunia.. Kata mereka.. setiap tahun mereka pasti datang ke Rome untuk ke Vatican city.. biasalah kan.. tempat suci buat mereka.. pastinya mereka akan ambil peluang untuk berkunjung ke situ.

Selesai nasi masak.. Kami terus 'check out' dan memandu menuju ke Vatican city. Hasil analisa kami malam tadi, kami dapati letak kereta berhampiran Vatican city itu agak murah dan banyak kawasan meletak kereta. Tidak silap aku, 4 Euro untuk 8 jam. Apa lagi kami letak van kami, bayar harga tiket, paparkan di dashboard.. Kami memulakan jelajah bandar Rome. Rancangannya kami mahu menaiki bas 'sightseeing' untuk mengelilingi bandar itu. Lebih mudah dan senang kerana boleh turun naik berulang kali dalam sehari.



Kami temui deretan bas 'sightseeing' dengan syarikat yang berbeza-beza tidak jauh dari dataran San Pietro Vatican City. Setiap bas itu dibezakan dengan warna berlainan. Ada yang berwarna merah, hijau, jingga dan kuning. Bas yang kami naiki agak murah harganya, 16 euro untuk seorang dewasa, manakala bagi bas sightseeing yang berwarna merah (sebenarnya bas jenis ini yang paling terkenal dan banyak terdapat di pelbagai negara) adalah 20 euro. Kami jimat 4 euro tapi aku percaya bas merah itu lebih detail laluannya berbanding bas berwarna kuning yang kami naiki. Tak kisahlah.. bak kata cik abang aku.. jimat 4 euro seorang.. 4 orang dah 20 euro.. banyak tuh.. janji boleh naik bas.. Bas tiba agak lewat rasanya hampir 45 minit kami menunggu.. matahari berdiri tegak di kepala.. Nasib juga aku bersiap sedia dengan topi yang aku bawa dari Glasgow. Bukan apa teringatkan pengalaman semasa ke Barcelona dulu.. Panas menggila.. hingga aku jadi gelap dan sakit kepala menahan panasnya mentari.



Perjalanan dimulakan.. rasanya ada 14 ke 15 hentian sepanjang laluan bas itu. Kami memilih untuk turun di hentian Colloseo (colloseum) antara tempat menarik yang terkenal di Rome. Sepanjang laluan bas itu.. aku pun snap klik mana-mana yang dirasakan cantik dan menarik.



Sampai di Colloseo.. kami jelajahi sekitar kawasan colloseo itu.. dari luar jelah.. nak masuk perlu beratur panjang.. Jika mahu ada tour guide seorang dikenakan 18 euro. kami putuskan kami sekadar mahu berlegar di luar kawasan colloseum sahaja.. Abis jugalah kami tawaf di luar kawasan 360 pusingan. Ambil gambar mana yang patut.. dan tunggu bas semula untuk ke tempat yang lain pula..



Kami lalui satu kawasan lapang yang merupakan tempat perlumbaan yang dikenali sebagai circus maximos



Kami singgah sebentar di sebuah plaza yang aku pun lupa nama dia.. ambil gambar.. hajat hati nak ke air pancut trevi yang terkenal itu.. dan ke kawasan 'spanish step' tapi tak sampai ke sana sebab dah agak letih dan kami juga perlu bertolak ke Venice yang mengambil perjalanan hampir 6 jam melebihi 500km.



Hampir ke pukul 4 petang kami mula keluar dari bandar Rome menuju ke Venice untuk kembara seterusnya..



Hampir pukul 9 malam lebih.. laluan kereta di lebuh raya terhenti selama hampir 1 jam. Kereta, lori, bas semuanya tidak boleh bergerak kerana ada kemalangan yang melibatkan sebuah lori treller. Sepanjang sejam itu kami duduk di lebuhraya yang sunyi sepi.. beberapa penumpang kereta dan lori mula keluar berjalan kaki di tepi kiri dan kanan lebuh raya itu.. aku.. sambung tidur semula dan terjaga bila laluan bergerak semula menghampiri ke pukul 10 malam..

Kami tiba ke Venice menghampiri pukul 2 pagi. Angkat barang masuk ke kabin.. Kali ini tandas dan bilik mandi diletakkan berasingan dengan bilik kami.. tapi tidaklah jauh dari kabin berkenaan. Terkenang pula zaman duduk di asrama.. hehehe.. Sempat juga malam itu aku basuh kain baju di laundary room (tinggal dalam mesin tuh jek) dan masuk tidur untuk jelajah ke Venice keesokkan harinya.

Bersambung..

(Kebanyakan gambar dimuatnaik ke facebook kerana kuota utk photo di blogspot amatlah terhad)

•Monday, October 19, 2009
Menghampiri ke pukul 2.30 petang, kami diberikan kunci kereta sewa. Kami dibawa oleh shuttle bas ke tempat letak kereta khusus untuk kereta-kereta sewa.. rasanya dalam 1 km sahaja dari lapangan terbang antarabangsa Geneva. Saat kereta.. bukan kereta.. van yang kami sewa itu dilihat di depan mata.. masing-masing semuanya terkejut.. hahahaha.. besar gila van ini.. boleh bawa ke wahai pemandu-pemandu yang ada nie.. Aku dah senyum sengih.. sebenarnya aku takdelah risau sangat sebab cik abang pernah membawa bas mini universiti Glasgow semasa ke Stoke on Trent dulu.. dan pengalaman dia memandu van pun bukanlah suatu yang asing ketika zaman bujang dulu.. kena pula memandu di sebelah kiri yang entah berapakali dia berpengalaman memandu.. Sedikit sebanyak aku rasa yakin dengan kemampuan dia.. Nasib juga pergi 2 keluarga.. sedikit sebanyak dapatlah saling memberikan semangat dan sokongan antara satu sama lain..

Setelah memunggah masuk semua beg-beg yang kami bawa.. ruangan letak barang di belakang masih luas.. memang besar van itu.. amat selesa.. sudahlah orangnya hanya 6 sahaja.. kerusi ada 9.. apa lagi semuanya bermaharaja lela dengan keselesaan masing-masing.. nak baring.. nak terlentang.. nak berlunjur.. semua boleh dibuat dengan senang hati.. hehehe..

Sementara menunggu GPS berjenama Tom Tom membaca dan mencari arah jalan ke Pisa Italy.. lama jugalah masa yang diambil untuk analisa jalan.. akhirnya kami keluar dari kawasan lapangan terbang Geneva menuju ke Pisa Italy.. Kami lalui tepian tasik 'Leman' dan kelihatan air tasik di sana sini.. dari jauh juga kami nampak air pancut tinggi yang menjadi mercu tanda bandar Geneva.. sempatlah ambil gambar sepintas lalu..



Kami singgah sebentar di tepian tasik dan bergambar seketika..



Setelah itu kami teruskan perjalanan yang melebihi 600km itu.. Hampir tengah malam kami tiba di Pisa.. itu pun entah berapakali kami berhenti.. pemandangan sepanjang perjalanan dari negara Switzerland ke Italy amat menakjubkan.. kami jua dapat melihat banjaran Mont Blanc.. Gunung ganang kelihatan dimana-mana.. tasik yang membiru..



Ketika memasuki terminal yang memisahkan 2 negara itu.. kami membayar sebanyak 29.80 swiss franc dan akhirnya perjalanan ke bandar Pisa diteruskan.. entah berapa banyak bandar-bandar kecil dan besar yang kami lewati sepanjang lebuhraya swiss dan italy itu.. Menjelang ke tengahmalam.. kami sampai ke tempat penginapan kami.. Camping Village Torre Pendente.. Kami menginap di kabin yang lengkap dengan dapur & peralatan memasak. Sampai sahaja kami dah masak maggi.. walhal sebelum itu kami dah makan malam nasi goreng kampung bersama serunding daging di kawasan hentian rehat..



Esoknya selesai menyediakan juadah untuk makan tengahari.. kari ayam dan salami goreng.. kami berjalan kaki ke menara condong Pisa yang terletak hanya 800m dari tempat penginapan kami. Dari jauh kelihatan menara condong itu.. pelbagai aksi manusia bergambar di sekitar menara itu.. kebanyakannya seolah-olah sedang menolak menara itu.. seronok juga melihat gerak gaya mereka itu.. Aku sahaja yang kurang berminat untuk bergambar sebegitu.. lebih selesa bergaya biasa dengan berdiri selesa di hadapan menara.. Orang lain.. hehehehe.. rasanya dah banyak yang tolak menara tuh.. tumbang jek belum lagi..



Di sekitar kawasan menara itu juga terdapat banyak gerai-gerai yang menjual cenderamata.. tidak ketinggalan juga di kawasan luar pintu masuk ke kawasan menara itu.. harga standard.. ada yang 3 euro bagi 'fridge magnet' (barangan ini adalah wajib setiap kali aku ke satu-satu tempat itu.. fridge kat umah pun dah penuh..) ada yang 2 untuk 5 euro.. tidak ketinggalan juga pelbagai barangan lain yang menjadi pilihan.. seperti kain pashmina yang hanya 5 euro setiap helai.. batu-batu cenderamata lambang menara pisa juga dijual.. ada yang semurah 1 euro.. hingga mencecah puluhan euro pun ada.. aku sekadar membeli mana yang dapat.. yang kecil-kecil sahaja yang muat masuk beg..


Selesai meronda sekitar menara condong (ibarat menara condong di teluk intan kata kawan aku).. kami mula bertolak balik ke tempat penginapan untuk mengambil van dan meneruskan perjalanan ke bandar Florence yang hanya 1 jam perjalanan..



Kami sekadar singgah di plaza Michaelangalo.. bersiar-siar di dataran itu.. beli cenderamata.. ambil gambar dari jauh.. dan menikmati makan tengahari kerana perut sudah mula berbunyi riang.. (rasanya kami di situ dalam sejam 2 sahaja). Selesai makan.. kami terus bertolak ke bandar Rome.. dan tiba menghampiri ke pukul 5 petang.

Selesai mengambil kunci bilik banglo kami, yang amatlah kecil dan sekadar sesuai untuk tidur.. tapi ada bilik air peribadi, kami berehat dan solat jamak zohor & asar.. masak nasi untuk makan malam.. Kami terus keluar ke bandar Rome dengan menaiki bas 247 yang terus ke Vatican City (4 euro untuk perjalanan penuh 1 hari sama ada menaiki bas, tram ataupun underground).

Sampai di vatican city (negara yang paling kecil di dunia dengan hanya 800 bilangan penduduknya) kami seolah hilang arah tidak tahu kemana harus dituju tapi berdasarkan peta yang ada.. akhirnya kami temui juga dataran besar vatican city itu.. sempat bergambar dan ke hulu hilir.. Ketika aku sudah mula berpeluh-peluh.. bandar rome sememangnya panas.. nak balik pun pening juga sebab tidak tahu mahu ke mana nak tunggu bas.. tanya orang semuanya kurang fasih berbahasa english.. tapi akhirnya kami temui juga stesen underground Ontalio yang berhampiran dengan Piazza Risorgimento.


Kami turun di stesen Cornelia dan mengambil bas 246 balik ke tempat penginapan kami di Camping Village Roma. Sempatlah menikmati makan malam nasi dan saki baki lauk yang ada serta mee maggi yang sedia ada dalam simpanan kami. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya dek keletihan berjalan di sekitar Vatican City.

Esoknya kami akan mula mengelilingi bandar Rome dengan menaiki bas 'sightseeing'.

Bersambung..

Related Posts with Thumbnails